Teras utama bidang penyelidikan Mekanisasi Pemprosesan & Lepas Tuai di MARDI ialah:
- Menyediakan penyelesaian isu-isu mekanisasi yang menjadi masalah kepada perusahaan makanan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memperkenalkan mekanisasi dalam sistem pengeluaran
- Mencari penyelesaian kepada pengendalian dan penyimpanan lepas tuai untuk komoditi pertanian dengan sistem yang lebih berkesan dan cekap
Rantaian sistem pengeluaran pertanian berkait rapat dengan aktiviti pemprosesan dan pengilangan untuk membangunkan nilai-tambah kepada sektor makanan. Aktiviti lepas tuai seperti penggredan dan pengendalian buah-buahan dan sayur-sayuran akan terus menjadi fokus utama kami. Penyelidikan dalam bidang teknik tak-musnah ‘non-destructive technique’ (NDT) dalam penentuan kualiti buah-buahan seperti limau bali, ciku, tembikai dan mangga akan menjadi keutaaman dalam penyelidikan kami di MARDI. Pemprosesan dan pengendalian lepas tuai untuk tumbuhan Roselle akan dipertingkatkan sebagai menggantikan penanaman tembakau di tanah bris. MARDI akan membangunkan model makmal pemprosesan Roselle yang memenuhi standard dan piawaian industri sebagai usaha peningkatan pemprosesan Roselle.
Komitmen MARDI dalam membantu mengembangkan industri makanan terutamanya kepada pengusaha kecil dan sederhana (IKS) akan terus ditingkatkan demi mengekalkan kedudukan Malaysia dalam sektor makanan. Industri makanan tradisional dan industri makanan terproses dibangunkan melalui mekanisasi dengan kebergantungan yang rendah terhadap tenaga buruh import. Melalui integrasi dengan pelan bangunan dan spesifikasi yang tepat, produk-produk makanan di Malaysia dapat mencapai kualiti premium dan memenuhi syarat-syarat dan keperluan dalam Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan HACCP.
Secara spesifiknya, program ini juga terlibat dalam memodenkan sektor pemprosesan makanan di samping memenuhi standard industri, membentuk perbandingan keuntungan berasaskan eksport dan import serta membangunkan industri makanan yang menggunakan bahan-bahan tempatan dan menggantikan bahan mentah import.